Kisah Kami Berdua
Ilham daripada Jennifer Soh Li Wen, Khamis, 06/10/2005, 5:13p.m.
Sebermulanya aku bahagia,
Bibir bertemu;
Telinga terbuka,
Aku berdiri megah,
Di ambang laut,
Mendengar kocakan ombak;
Titisan-titisan air mencium pipiku,
Terasa angin bayu menyisir rambutku,
Sementara aku melihat,
Matahari senja cerah;
Tetiba menjadi pudar,
Ditelan deras air malam.
Di sini aku dilamun cinta,
Jari-jemariku diselubungi permata;
Kain sutera putih berseri melilit badanku,
Mukaku diwarnai merah jambu,
Dialah jejaka pilihanku,
Dengan rela kukata setuju.
Satu, dua, tiga tahun berlalu sudah,
Dia pula asyik berubah-ubah;
Seperti cuaca,
Dia cepat marah,
Aku senantiasa menjadi mangsanya,
Pukul sembilan dia kembali ke rumah;
Memanggilku tanpa arah,
Aku juga yang menjadi sasarannya,
Walaupun telah berbadan dua.
Dulu kulitku licin dan cerah,
Tak sangka kini bertukar warnanya;
Merah, biru, hitam pun ada,
Bayiku pula pandai membesar,
Dari kepala hingga ke kaki,
Kesakitan dan keperitan kurasai;
Setiap hari aku diteman melodi,
Makan dan minum,
Selalu tak jadi.
Begitulah kisah kami berdua,
Ibu dan anak didera Papa;
Kami telah dipanggil Tuhan,
Sebelum anakku cukup bulan,
Belum lagi sempat melihat dunia,
Aku dengannya cukup merana;
Tidak tahu hendak ke mana,
Kini menetap di rumah Syurga,
Sambil mengawasi gerak-geri Papa,
Anakku akhirnya dapat menjejakinya;
Inilah Papamu buat selama-lamanya,
Mula insaf akan perbuatannya,
Apa dayanya,
Semua sudah terlewat;
Sesal kemudian tiada gunanya,
Ingin sangat aku memaafkannya,
Memberitahu bahawa aku cinta dia,
Air mataku tidak dapat mengalir;
Sungguh kering,
Aku hilang daya,
Anak ini kulahirkan,
Khas untukmu, suamiku;
Jangan kau tangiskan,
Aku tak pernah salahkanmu,
Maafkan aku,
Anak kita berada di TanganNya;
Bertaubatlah, suamiku,
Berdoalah selalu,
Panggillah anakmu,
Yang bersempenakan namamu.
Papa,
Aku merinduimu;
Teruskanlah perjuanganmu,
Ingatlah kami berdua,
Tuhan akan memberkatimu,
Aku berjanji;
Kata-katamu aku sentiasa ingati,
Dari saat aku menjadi isteri,
Denganmu aku menjumpai kelebihan diri,
Tidak jemu menjadi berani;
Di hadapanmu aku menari,
Di sisimu aku menyanyi,
Tanpamu,
Aku berdikari.
Jangan engkau asyik berduka,
Hidup ini haruslah sempurna;
Cuba dengan sedaya-upaya,
Sampai ke puncak jaya,
Rajin bertanya,
Jangan leka;
Engkau seorang lelaki berjaya,
Hanya engkau aku menggelar wira,
Seorang suami yang taat setia,
Cintaku terhadapmu;
Kian hari kian dalam,
Suatu hari kita akan berjumpa,
Sabar, suamiku,
Jangan kau tenggelam;
Kalau kau jatuh,
Cepat-cepat berdiri,
Jangan kau putus asa,
Engkau harus sedia berjasa;
Kewujudanmu penting di mata dunia,
Sumbanglah segala yang kau ada,
Berperang hingga ke akhir hayat,
Apabila terbang tinggi;
Jangan kau gayat,
Apabila mendarat,
Jangan kau dengki,
Setiap orang mencari rezeki;
Pengalaman itu tidak dijual beli,
Lebih jauh perjalanan,
Lebih luas ilmu pengetahuan,
Anakmu di sini;
Ingin melihatmu beriman,
Ingin melihatmu mengejar impian,
Menjadi tauladan,
Muda-mudi tanahair kita;
Dengan ikhlas, kami sayang Papa.
2 comments:
Post a Comment